Assalaamu’alaikum wr wb
JANJI
Dalam kehidupan kita sehari-hari, kita tidak terlepas dari membuat janji antara sahabat dengan sahabat, rekan sekerja , pekerja dengan majikan, pemimpin dengan ahli-ahli bawahannya dan kerajaan dengan rakyat. Malah mungkin juga di antara dua golongan yang bermusuhan dan sebagainya. Bahkan juga kadang-kadang berjanji dengan Allah s.w.t atau bersumpah dengan nama Allah s.w.t. untuk membuat sesuatu kebajikan dan meninggalkan sesuatu kemungkaran.
Agama Islam tidak melarang kita membuat janji dengan siapapun pun atau mana-mana pihak asalkan janji-janji itu ditepati dalam perkara-perkara yang baik dan berkebajikan.
“Wahai orang-orang yang beriman penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” (QS al-Maaidah :1)
Perjanjian adalah satu amanah yang wajib ditunaikan. Menganggap ringan perjanjian dan tidak menepati apa yang diucapkan adalah dosa besar yang dibenci dan dimurkai Allah s.w.t. QS Ash-Shaff :2 – 3 “Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
Menepati janji adalah sangat-sangat dituntut oleh agama Islam. Mukmin yang menepati janji akan mendapat pahala yang sebesar-besarnya oleh Allah s.w.t. yaitu Syurga Firdaus.
“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sholatnya mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.”(QSAl-Mukminuun 8-11)
Ingkar janji adalah perbuatan yang tidak disukai oleh Allah s.w.t. yang banyak menimbulkan keburukan kepada pihak-pihak yang berjanji. Akibat ingkar janji, sahabat dengan sahabat menjadi renggang, pekerja dengan majikan bermusuhan, suami isteri berselisih faham, ayah dan anak tidak bersefahaman. Rakyat dengan pemerintah akan menimbulkan hubungan yang tidak harmonis.dsb.
Hadist : “Dari tanda-tanda orang munafik itu ada tiga yaitu apabila berbicara dia berbohong dan apabila berjanji dia ingkar dan apabila diberi amanah dia khianat”
Islam telah mengaturkan bagi mereka adab-adab dalam perjanjian, antaranya adab-adab yang perlu diikuti itu ialah mengucapkan lafaz “Insya-Allah” apabila berjanji suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t.
“Janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti melainkan hendaklah disertakan dengan berkata Insya-Allah. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa dan katakanlah : mudah-mudahan Tuhanku memimpin ku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”. QS Al-kahfi, 23-24 :
“Insya-Allah” adalah ucapan sebagai janji yang mesti dipenuhi mengikuti hukum syara’
Perlu diingat dan difahami bahawa janji adalah wajib ditepati, ini bererti ucapan “Insya-Allah” itu bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji. Bahkan perkataan “Insya-Allah” itu hendaklah disertai dengan azam untuk menyempurnakan janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang dibenci oleh Allah s.w.t. Walau bagaimanapun menyentuh perkataan “Insya-Allah” dengan azam untuk melakukan sesuatu itu adalah lebih menepati kehendak agama Islam, karena pasti kita tidak mampu melakukan sesuatu itu kecuali dengan izin Allah s.w.t. juga.
Berhati-hatilah sebelum berjanji atau menerima janji. Jadikanlah menyebut perkataan “Insya-Allah” itu bagi menyempurnakan mana-mana janji. . Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita akan terhindar daripada sifat-sifat orang munafik.
QS Al-Anfaal, 58 : “Dan jika kamu khuatir akan terjadinya pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang khianat.”
Janji yang paling besar yang telah kita ikrarkan kepada Allah s.w.t adalah apabila kita mengucapkan kalimah “Dari Ubadah Bin ash Shaamiti Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud… Barangsiapa bersaksi mengatakan Lailahaillah Muhammadarrasulullah..Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan ALLAH.. dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh ALLAH, maka ALLAH akan mengharamkan Neraka baginya..”
Dua kalimah syahadah yang kita ucap dan ikrarkan itu adalah perjanjian yang besar kepada Allah s.w.t bahawa kita telah berikrar bahawa Tidak ada Tuhan (Illah) yang disembah melainkan Allah (yaini kita hanya beriman dan melaksanakan semua suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya) dan menyakini bahawa hanya Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah (yaini beriman kepada Nabi s.a.w dan mengikut sunnah dan ajaran yang dibawa dan meninggalkan semua larangannya) balasan daripada kita memenuhi janji ini adalah balasan Syurga dan dijauhi daripada Neraka.
Jika kita ingkar kepada dua kalimah syahadah tersebut ini bermakna kita telah inkar janji, sifat orang Mukmin adalah memenuhi janjinya apabila ia berjanji.
Marilah kita memenuhi semua janji-janji kita untuk melayakkan kita menjadi orang Mukmin yang dikasihi Allah s.w.t.
Tinggalkan komentar